Mesyuarat Tindakan DUN (MTD) di Daerah Kota Tinggi
Syukur Alhamdulillah, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM29 juta bagi melaksanakan 79 projek pembangunan menerusi Mesyuarat Tindakan DUN (MTD) di Daerah Kota Tinggi. Mesyuarat MTD Kota Tinggi ini merupakan MTD ketiga yang saya pengerusikan tahun ini, selepas pelaksanaan di daerah lain sebelum ini.
Peruntukan ini melibatkan pelbagai projek baik pulih dan naik taraf infrastruktur, penambahbaikan sistem saliran serta kemudahan komuniti yang memberi manfaat terus kepada rakyat. Usaha ini dilaksanakan melalui pendekatan whole-of-nation, dengan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, Pejabat Daerah, PBT serta semua agensi pelaksana bagi memastikan setiap isu rakyat dapat diselesaikan dengan lebih berkesan.
Dalam mesyuarat MTD Kota Tinggi yang melibatkan enam kawasan DUN iaitu Panti, Pasir Raja, Sedili, Johor Lama, Penawar dan Tanjung Surat, sebanyak 180 isu dan perkara berbangkit telah dibincangkan secara menyeluruh. Daripada jumlah tersebut, 49 isu telah berjaya diselesaikan, 25 sedang dalam pelaksanaan, manakala 83 merupakan permohonan baharu yang akan diteliti dan dilaksanakan secara berperingkat oleh agensi berkaitan.
Dalam kesempatan yang sama, saya turut menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bantuan Kasih Johor (BKJ) di Masjid An-Nur Kampung Batu Empat, Kota Tinggi, di mana bantuan disalurkan kepada 1,077 penerima manfaat dengan jumlah peruntukan sekitar RM250 ribu. Walaupun jumlahnya mungkin tidak besar, namun ia adalah tanda keprihatinan Kerajaan Negeri untuk membantu meringankan beban rakyat, khususnya dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Semoga setiap pembangunan dan bantuan yang dirancang oleh Kerajaan Negeri dapat benar-benar sampai dan memberi manfaat kepada rakyat di setiap daerah di Johor, sekaligus memastikan kemajuan negeri ini dapat dirasai bersama oleh seluruh Bangsa Johor. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah




