Pertemuan Strategik Bersama Jiangsu Longda Superalloy Co., Ltd

Syukur Alhamdulillah, Kerajaan Negeri Johor terus memperkukuh jaringan pelaburan antarabangsa melalui pertemuan strategik bersama Jiangsu Longda Superalloy Co., Ltd yang telah melabur RM900 juta di Johor, sekali gus mewujudkan sekitar 300 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, serta tujuh syarikat rakan ekosistem merangkumi sektor aeroangkasa, bahan termaju, peralatan semikonduktor, minyak dan gas serta tenaga boleh diperbaharui untuk turut melabur di Johor.

Pertemuan ini membuka potensi kerjasama dalam industri berteknologi tinggi di Johor menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). Sesi ini menjadi platform penting untuk menonjolkan kelebihan Johor sebagai hab ekonomi serantau dan memperkukuh hubungan dengan pelabur global. 

Menerusi pertemuan ini, Kerajaan Negeri turut diperkenalkan dengan tiga anak tempatan Malaysia yang kini berkhidmat di syarikat tersebut, termasuk anak Johor dari Skudai, graduan UTM. Ini membuktikan keupayaan anak Johor dan Malaysia secara keseluruhan untuk bersaing di peringkat global, sekali gus menguatkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasa pembangunan bakat tempatan bagi menembusi industri berteknologi tinggi.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri memberi penekanan serius terhadap pembangunan bakat dan pemindahan teknologi supaya Bangsa Johor bukan sekadar menjadi penonton, tetapi pemain utama dalam rantaian nilai industri masa hadapan. Melalui JTDC, usaha bersepadu terus dipergiat bagi melahirkan tenaga kerja mahir, berkemahiran tinggi dan bersedia memenuhi keperluan industri berimpak tinggi.

Perbincangan turut merangkumi potensi kerjasama dalam ekosistem penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi teknologi, selaras dengan aspirasi Johor untuk muncul sebagai hab industri bernilai tinggi di rantau ini. Langkah ini diyakini mampu meningkatkan keyakinan pelabur global untuk menempatkan operasi strategik mereka di Johor.

Kerajaan Negeri komited memastikan setiap pelaburan yang dibawa masuk memberi impak langsung kepada Bangsa Johor melalui peluang pekerjaan berkualiti, peningkatan kemahiran tenaga kerja, serta pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #JSSEZ #JTDC #IMFCJ