Sesi Libat Urus Strategik Bersama United Overseas Bank (UOB)
Syukur Alhamdulillah, lebih 30 syarikat pelabur antarabangsa merentasi sembilan sektor utama termasuk teknologi, tenaga dan pembuatan maju telah bertemu dalam sesi libat urus strategik bersama United Overseas Bank (UOB) dalam rangka lawatan kerja rasmi ke Shanghai, China.
Melalui rangkaian luas UOB, sesi ini mempertemukan Johor dengan pelabur yang serius untuk berkembang di rantau ini, sekali gus memastikan setiap perbincangan tertumpu kepada peluang yang boleh membuka lebih banyak pekerjaan berkualiti, meningkatkan pendapatan rakyat dan merancakkan ekonomi negeri, dengan setiap pelaburan diselaraskan agar manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh Bangsa Johor.
Perbincangan turut menumpukan sektor berimpak tinggi seperti pemindahan teknologi, pembangunan industri bernilai tinggi dan pengukuhan rantaian bekalan di Johor. Seiring itu, Johor terus menegaskan peranannya sebagai platform strategik untuk pelabur menembusi pasaran ASEAN melalui Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
Dalam sesi ini juga, Kerajaan Negeri berkongsi peranan Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) sebagai pemudah cara utama, serta penglibatan Johor Talent Development Council (JTDC) dalam memastikan ketersediaan bakat dan tenaga kerja berkemahiran tinggi selari dengan keperluan pelabur.
Semoga segala usaha ini bukan sekadar membuka ruang perbincangan tetapi menjadi langkah konkrit ke arah pelaburan yang memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri dan masa depan Bangsa Johor, seterusnya mengangkat Johor sebagai kuasa ekonomi yang berdaya saing di peringkat antarabangsa. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah




