Fasa Akhir Kerja Naik Taraf Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar (KWSAB)

Satu lagi tarikan menarik di Johor bakal dibuka! 

Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang meninjau perkembangan terkini kerja-kerja naik taraf Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar (KWSAB) yang kini telah mencapai fasa akhir, melibatkan peruntukan melebihi RM5.6 juta dan dijangka mula dibuka kepada orang ramai pada bulan Jun ini.

Kompleks ini sebuah destinasi yang mengetengahkan tradisi, seni dan budaya Bangsa Johor dalam suasana yang lebih hidup dan interaktif. Pengunjung berpeluang menyaksikan keindahan warisan negeri melalui pelbagai persembahan kebudayaan seperti zapin, tarian Cina, tarian India serta persembahan Orang Asli yang mencerminkan kepelbagaian dan keharmonian masyarakat Johor.

Selain itu, kompleks ini turut menampilkan busana tradisional Bangsa Johor, Galeri Seni, Galeri Tenun serta pengalaman permainan tradisi yang memberi peluang kepada pengunjung, khususnya generasi muda, untuk lebih mengenali akar budaya, sejarah dan jati diri negeri ini.

Dalam masa yang sama, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai hidangan warisan Johor seperti Laksa Johor, Kacang Pool, Mee Rebus dan pelbagai lagi di gerai Rasa Johor yang menghimpunkan keunikan cita rasa tempatan.

Semoga pembukaan kompleks ini nanti bukan sahaja menghidupkan kembali warisan budaya Johor, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat, sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini khususnya sempena Tahun Melawat Johor 2026. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #MajesticJohor #TahunMelawatJohor2026 #VisitJohor2026 #MehLahJohor