Penubuhan Sekolah Agama Rintis Bangsa Johor

Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas ilham serta cetusan idea penubuhan Sekolah Agama Rintis Bangsa Johor sebagai pelengkap kepada model pendidikan Bangsa Johor yang terus diperkasakan di negeri ini.

Syukur Alhamdulillah. Atas perkenan DYAM Pemangku Sultan Johor, Kerajaan Negeri akan membangunkan Sekolah Agama Rintis Bangsa Johor yang pertama sebagai pelengkap kepada ekosistem pendidikan Bangsa Johor. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam membangunkan modal insan yang seimbang dari segi ilmu, sahsiah dan pegangan agama.

Untuk makluman, sejak tahun 2022 hingga 2026, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM286.456 juta bagi memperkasa Sekolah Agama Kerajaan Johor. Peruntukan ini merangkumi pembangunan infrastruktur, kebajikan guru serta peningkatan kualiti pembelajaran yang memberi manfaat kepada 583 buah sekolah agama, 5,006 guru dan lebih 204,000 pelajar di seluruh negeri.

Menerusi Majlis Sambutan Hari Guru Agama Kerajaan Johor Peringkat Negeri Kali Ke-28 dan Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Johor 2026, saya turut melancarkan Garis Panduan Kod Etika Guru Agama Johor bagi memperkukuh profesionalisme warga pendidik. Tahniah juga kepada semua penerima Anugerah Tokoh Hari Guru Agama Negeri Johor atas sumbangan dalam memartabatkan pendidikan Islam di negeri ini.

Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh guru agama atas jasa dan pengorbanan dalam membentuk akhlak serta jati diri generasi Bangsa Johor. 

Semoga Allah SWT terus memberkati setiap usaha murni yang dicurahkan, mengurniakan kekuatan dalam menggalas amanah mendidik, serta mempermudahkan ikhtiar melahirkan generasi Bangsa Johor yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia. Insya-Allah. 

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor

Skip to content