Majlis Penyerahan Perumahan Kasih Johor (PKJ) Fasa 5

Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang sentiasa menekankan kepentingan agenda perumahan demi memastikan kebajikan dan kesejahteraan Bangsa Johor terus terbela.

Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang menghadiri Majlis Penyerahan Perumahan Kasih Johor (PKJ) Fasa 5 yang memberi manfaat kepada seramai 6,000 penerima dengan peruntukan sebanyak RM22.2 juta, merangkumi Bantuan Beli Rumah, Bantuan Masuk Rumah dan Bantuan Sewa Rumah.

Menerusi majlis ini, saya turut mengumumkan pelaksanaan Skim Bantuan Deposit Sewa Rumah, dengan setiap penerima menerima bantuan RM1,000 bagi deposit sewaan rumah. Inisiatif yang akan mula dilaksanakan pada tahun hadapan ini bakal memanfaatkan 10,000 penerima dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM35 juta.

Untuk makluman, sepanjang lima fasa pelaksanaan inisiatif Perumahan Kasih Johor, sebanyak RM59.859 juta telah diperuntukkan dan memberi manfaat kepada 15,126 penerima, melibatkan 9,569 penerima Bantuan Beli Rumah, 3,524 penerima Bantuan Masuk Rumah dan 2,033 penerima Bantuan Sewa Rumah.

Jutaan terima kasih dan tahniah kepada YB Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), pihak berkuasa tempatan, para pemaju serta seluruh agensi yang bersama-sama menjayakan agenda ini.

Semoga agenda perumahan Johor terus diperkasa agar lebih ramai Bangsa Johor mempunyai tempat berteduh yang selesa dan terjamin. Kerajaan Negeri akan terus berusaha memperluas akses kepada perumahan yang mampu dimiliki demi kesejahteraan Bangsa Johor. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor

Skip to content