Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Johor (JETP) Daerah Batu Pahat
Syukur Alhamdulillah, dalam lawatan kerja ke daerah Batu Pahat, saya telah dibentangkan Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Johor (JETP) Daerah Batu Pahat yang merangkumi pelbagai keutamaan dan perancangan strategik bagi memperkukuh pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di daerah ini.
Menerusi JETP, Kerajaan Negeri memberi penekanan kepada pembangunan yang memanfaatkan kekuatan dan potensi Batu Pahat, termasuk cadangan pembangunan Advanced Manufacturing Park (AMP) bagi menarik industri pembuatan bernilai tinggi, pembangunan bakat dalam bidang Industri 4.0, automasi dan robotik serta pengukuhan jaringan logistik yang menghubungkan Batu Pahat dengan koridor NSE-WCE. Usaha ini penting untuk menarik lebih banyak pelaburan, mewujudkan pekerjaan berkualiti dan membuka peluang ekonomi yang lebih luas kepada rakyat tempatan.
Kerajaan Negeri turut meluluskan RM3.78 juta bagi pelaksanaan 25 projek keutamaan di seluruh daerah Batu Pahat. Dalam masa sama, saya turut beramah mesra bersama masyarakat menerusi Majlis Jalinan Rakyat Daerah Batu Pahatdan menyempurnakan penyerahan kunci Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) Taman Perbadanan Islam Rengit kepada 45 keluarga, melibatkan 19 unit Jenis B, 16 unit Jenis C dan 10 unit Jenis D.
Saya juga berkesempatan bertemu persatuan dan NGO masyarakat Tionghua dalam Majlis Makan Tengah Hari. Kerajaan Negeri telah menyalurkan RM500,000 bagi menyokong pelbagai aktiviti kemasyarakatan di Batu Pahat, termasuk kepada 100 persatuan serta bantuan kepada persatuan dan pertubuhan lain. Kerajaan Negeri akan terus memastikan setiap komuniti diberikan perhatian sewajarnya dan bersama-sama menikmati manfaat kemajuan Johor.
Terima kasih warga Batu Pahat atas sambutan dan kebersamaan sepanjang lawatan ini. Semoga segala perancangan dan usaha yang digerakkan terus membuka lebih banyak peluang, meningkatkan kualiti hidup serta memperkukuh Batu Pahat sebagai daerah yang semakin maju dan berdaya saing, seiring dengan aspirasi Maju Johor 2030. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah




