Lawatan Kerja Ke Singapura: Memperkukuh Kerjasama Ekonomi Johor-Singapura
Syukur Alhamdulillah, dalam rangka lawatan kerja ke Singapura, saya mengadakan pertemuan bersama Tuan Gan Kim Yong, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura, bagi membincangkan langkah memperkukuh kerjasama ekonomi Johor-Singapura, khususnya menerusi pelaksanaan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ).
Dalam landskap ekonomi dunia yang semakin mencabar, Johor dan Singapura mempunyai kekuatan tersendiri yang boleh saling melengkapi. Melalui JS-SEZ, kita mahu memanfaatkan kelebihan kedua-dua pihak untuk menarik lebih banyak pelaburan strategik dan industri bernilai tinggi, memperkukuh rantaian bekalan rentas sempadan serta menawarkan ekosistem yang lebih kompetitif kepada pelabur serantau dan global.
Pertumbuhan ekonomi juga perlu bergerak seiring dengan pembangunan bakat. Kerajaan Negeri amat menghargai sokongan dan kerjasama Kerajaan Singapura dalam membantu Johor memperkukuh pembangunan kemahiran, termasuk melalui kerjasama antara Johor Skills dan Republic Polytechnic dalam latihan industri serta libat urus bersama sektor perniagaan. Kita mahu bakat Johor benar-benar bersedia untuk merebut pekerjaan bernilai tinggi dan peluang baharu yang diwujudkan melalui pertumbuhan JS-SEZ.
Dalam jangka panjang, kita mahu JS-SEZ berkembang sebagai antara pintu masuk utama bagi syarikat antarabangsa yang mahu berkembang ke pasaran ASEAN, sekali gus mempercepat pembangunan Johor secara menyeluruh. Ini termasuk penyediaan infrastruktur yang lebih baik, ekosistem industri yang lebih kukuh, kemudahan awam yang berkualiti, peluang perniagaan yang lebih luas untuk syarikat dan usahawan tempatan serta pembangunan bakat, supaya manfaat pertumbuhan ini benar-benar dapat dirasai oleh rakyat Johor.
Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuan Gan Kim Yong serta Kerajaan Singapura atas sokongan dan kerjasama berterusan kepada Johor, khususnya dalam bidang ekonomi, pelaburan dan pembangunan bakat. Insya-Allah, hubungan erat Johor-Singapura ini akan terus dimanfaatkan untuk membuka lebih banyak peluang kepada rakyat serta membina pertumbuhan yang memberi manfaat dan kemakmuran bersama untuk generasi akan datang.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah




