Sambutan Maulidur Rasul Di Masjid Jamek Sultan Ismail, Batu Pahat
Syukur Alhamdulillah, sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini berlangsung dengan penuh meriah dan harmoni, menghimpunkan umat Islam dalam menyemarakkan kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Saya bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri berkesempatan hadir dalam sambutan yang berlangsung di Masjid Jamek Sultan Ismail, Batu Pahat.
Sambutan dimulakan dengan perarakan Maulidur Rasul yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat serta kontinjen daripada agensi kerajaan, institusi pendidikan, badan berkanun, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO). Perarakan ini menghidupkan syiar Islam, mempererat ukhuwah dan menyatukan masyarakat dalam kecintaan kepada Rasulullah SAW.
Selepas perarakan, majlis diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan bacaan doa. Pengisian ini menjadi ruang untuk kita menghayati kebesaran Allah SWT, mengenang sirah dan perjuangan Rasulullah SAW dalam menyampaikan risalah Islam, serta meneladani akhlak mulia dan sunnah Baginda sebagai pedoman dalam kehidupan seharian.
Berteraskan tema “Maju Johor Dihayati, Ummah Diberkati”, marilah kita menginsafi bahawa kemajuan yang hakiki perlu berjalan seiring dengan kekuatan iman, ilmu dan akhlak. Teladan Rasulullah SAW hendaklah terus menjadi panduan dalam membina masyarakat yang saling menghormati, berkasih sayang dan menjunjung nilai-nilai Islam.
Marilah kita memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta menjadikan sunnah dan akhlak Baginda sebagai pedoman kehidupan. Semoga kecintaan kepada Rasulullah SAW terus menyatukan hati umat Islam dan membawa kita menuju kehidupan yang diredai serta diberkati Allah SWT. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #RapatkanSaf #MaulidurRasul1448H #MajuJohorDihayatiUmmahDiberkati



