Sesi Perbincangan Meja Bulat Bersama Maybank Singapore Dan Singapore Manufacturing Federation (SMF)
Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang menghadiri sesi perbincangan meja bulat bersama Maybank Singapore dan Singapore Manufacturing Federation (SMF) yang menghimpunkan wakil daripada 39 syarikat dan organisasi merentasi sektor kewangan, pembuatan dan kejuruteraan, kesihatan, ekonomi digital, infrastruktur serta utiliti.
Dalam sesi ini, saya berkongsi rekod pencapaian ekonomi Johor bagi tahun 2025 yang menunjukkan prestasi amat memberangsangkan. Ekonomi negeri mencatat pertumbuhan 8.0 peratus, tertinggi di Malaysia, dengan KDNK mencecah RM170.9 bilion. Johor turut merekodkan RM110 bilion pelaburan yang diluluskan, manakala dalam kawasan JS-SEZ, sebanyak RM77 bilion melibatkan hampir 400 projek yang dianggarkan mampu mewujudkan kira-kira lebih 24,500 peluang pekerjaan baharu.
Saya turut berkongsi usaha Kerajaan Negeri melalui Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) untuk memastikan pertumbuhan ekonomi membawa manfaat langsung kepada rakyat. Melalui Johor Talent Development Council (JTDC), pembangunan bakat diselaraskan dengan keperluan sebenar industri menerusi kerjasama bersama syarikat, universiti dan institusi TVET di Johor.
Usaha menarik pelaburan dan membangunkan bakat ini tentunya memerlukan kerjasama erat dengan rakan industri dan institusi kewangan. Saya merakamkan penghargaan kepada Maybank yang telah memudah cara hampir RM20 bilion pembiayaan dan pelaburan berkaitan JS-SEZ, serta SMF yang aktif membawa syarikat meneroka peluang di Johor. Kerjasama ini membantu membawa lebih banyak pelaburan berkualiti, teknologi, kepakaran dan peluang perniagaan ke negeri ini.
Semoga kerjasama Johor-Singapura terus diperkukuh agar pertumbuhan yang sedang berlaku dapat mempercepat pembangunan negeri secara menyeluruh, sekali gus memastikan kemajuan ekonomi Johor benar-benar dirasai oleh Bangsa Johor hari ini dan pada masa hadapan. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah




