Meluangkan Masa Dengan Beberapa Program Di Simpang Renggam

Syukur Alhamdulillah, saya gembira dapat balik ke kawasan Simpang Renggam dan meluangkan masa bersama kelurga besar saya menerusi beberapa program yang berlangsung di sekitar Simpang Renggam.

Semasa balik ke kawasan, saya berpeluang menunaikan solat Subuh berjemaah menerusi Program Semarak Subuh di Masjid Bandar Baru Ibrahim Majid, diikuti tazkirah Subuh dan sarapan bersama penduduk dengan pelbagai juadah yang disediakan dalam suasana yang cukup erat.

Saya kemudiannya menyantuni 100 penerima di DUN Machap menerusi Program Belanja Dapur MAINJ, sebagai salah satu inisiatif membantu meringankan beban perbelanjaan harian keluarga yang memerlukan. Dalam masa yang ada, saya turut hadir ke Majlis Penyerahan Borang 5A Lot Generasi Kedua FELDA Layang-Layang kepada lebih 100 penerima, satu perkara yang cukup bermakna buat keluarga peneroka yang telah lama menantikannya.

Kemudian, saya bersama warga Simpang Renggam dalam Program Jalinan Kasih Sekampung di Laman Simpang Renggam, yang menjadi ruang untuk bertemu rakyat dengan lebih dekat, mendengar pandangan mereka serta berkongsi perkembangan dan usaha yang sedang dilaksanakan di peringkat negeri dan kawasan.

Tidak cukup dengan itu, saya juga berkesempatan hadir ke Sambutan Pesta Tanglung di SJKC Tuan Poon, Simpang Renggam yang cukup meriah dan menggambarkan kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan Bangsa Johor. Saya juga sempat singgah ke Hutan Bandar Simpang Renggam untuk melihat suasana di sana serta beramah mesra dengan para peniaga dan pengunjung.

Setiap kali balik ke kawasan, saya akan cuba sebaik mungkin memanfaatkan masa yang ada untuk bertemu masyarakat, mendengar sendiri pandangan mereka dan melihat apa lagi yang boleh kita usahakan bersama. Insya-Allah, selagi diberi ruang dan kesempatan, saya akan terus turun padang dan bersama-sama warga Simpang Renggam yang saya kasihi.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #OHMachap #SimpangRenggam 

Skip to content