Program Semarak Maghrib Dan Isyak Di Masjid Taman Dato Onn, Johor Bahru
Syukur Alhamdulillah, Program Semarak Maghrib dan Isyak Negeri Johor diteruskan di Masjid Taman Dato Onn, Johor Bahru. Program ini menghimpunkan umat Islam untuk bersama-sama menunaikan Solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah, diikuti bacaan Surah Al-Mulk serta pengisian yang menghidupkan rumah Allah SWT.
Selepas solat, jemaah turut mengikuti tazkirah Hadis 40 bertajuk “Tuntutan Pengimarahan Masjid” yang disampaikan oleh Ustaz Haji Halid bin Sono, Kadi Besar Negeri Johor. Perkongsian ini mengingatkan kita tentang tanggungjawab menjalani kehidupan berlandaskan agama serta kelebihan yang dijanjikan Allah SWT kepada mereka yang menjaga ibadah.
Solat berjemaah mempunyai kelebihan yang besar berbanding solat bersendirian, manakala wuduk yang disempurnakan menjadi antara sebab mendapat keampunan Allah SWT. Islam juga mengangkat kedudukan orang yang berilmu berbanding mereka yang tidak berilmu, sebagai panduan dalam melaksanakan tuntutan agama dengan sebaik-baiknya.
Mengimarahkan rumah Allah SWT merupakan amalan yang besar nilainya. Sebagaimana hadis yang disampaikan, barangsiapa membina rumah Allah, nescaya Allah SWT akan membina baginya sebuah rumah di syurga. Oleh itu, masjid perlu terus dihidupkan sebagai tempat ibadah, menimba ilmu dan membina ukhuwah dalam kalangan masyarakat.
Semoga Program Semarak Maghrib dan Isyak terus menyemarakkan syiar Islam serta mengajak lebih ramai umat Islam mendekati masjid. Mudah-mudahan setiap langkah menuju ke rumah Allah SWT, setiap saf yang dipenuhi dan setiap ilmu yang dipelajari menjadi amal yang diberkati serta mendapat keampunan dan rahmat-Nya. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #SemarakMaghribDanIsyakJohor #RapatkanSaf




