Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Johor (JETP) Daerah Segamat

Syukur Alhamdulillah, saya bersama barisan kepimpinan Johor berkesempatan menaiki perkhidmatan ETS ke Segamat bagi meneruskan lawatan kerja ke daerah ini. Semasa di Segamat, saya telah dibentangkan Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Johor (JETP) Daerah Segamat yang menggariskan pelbagai inisiatif strategik untuk memperkukuh pembangunan ekonomi daerah serta memastikan Segamat terus bergerak maju seiring dengan daerah-daerah lain di Johor. 

Menerusi JETP, Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh potensi ekonomi daerah Segamat secara menyeluruh, dengan memanfaatkan kekuatan sedia ada serta membuka lebih banyak ruang untuk pertumbuhan baharu. Pembangunan yang dirancang bukan sahaja perlu merancakkan ekonomi daerah, tetapi turut membuka peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan dan memberi manfaat yang lebih besar kepada masyarakat setempat.

Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri turut meluluskan peruntukan berjumlah RM900,000 bagi 18 projek yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, meliputi kerja-kerja menaik taraf dan baik pulih kemudahan awam serta infrastruktur di enam DUN. Turut dibincangkan, pembangunan Taman Komuniti Bangsa Johor, Medan Niaga Bangsa Johor dan Taman Mini Air Bangsa Johor di Labis dan Segamat sebagai usaha memperkukuh kemudahan awam, merancakkan aktiviti ekonomi dan kesejahteraan masyarakat setempat.

Saya turut berpeluang beramah mesra bersama masyarakat Segamat menerusi Majlis Jalinan Rakyat. Saya amat menghargai sambutan dan kebersamaan yang ditunjukkan, malah berbangga melihat masyarakat majmuk duduk bersama dalam satu dewan sebagai sebuah keluarga besar Bangsa Johor. Sesungguhnya, inilah semangat kebersamaan Bangsa Johor yang menjadi kekuatan dan perlu terus disuburkan.

Kerajaan Negeri komited memastikan pembangunan Segamat terus diperkasa, dengan manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh rakyat. Kita mahu setiap usaha yang dilaksanakan membawa perubahan yang lebih baik kepada masyarakat Segamat. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #Segamat #JETP

Skip to content