Solat Jumaat Bersama Jemaah Di Masjid Bandar Tangkak
Syukur Alhamdulillah, semasa turun ke Daerah Tangkak, saya berkesempatan menunaikan Solat Jumaat bersama jemaah di Masjid Bandar Tangkak serta menyempurnakan Infaq Jumaat, di samping meninjau perkembangan projek setempat, meneliti hala tuju pembangunan ekonomi daerah serta meluangkan masa bersama masyarakat.
Menerusi JETP, Kerajaan Negeri memberi tumpuan untuk memperkukuh kedudukan Tangkak sebagai pintu masuk utara Johor dengan memanfaatkan kekuatannya dalam sektor agro, logistik, transit dan eko-pelancongan. Antara potensi dan perancangan yang dibincangkan termasuk pengukuhan rantaian pengumpulan dan pemasaran hasil padi serta durian, pembangunan koridor transit dan logistik WCE–NSE, selain memperkasa Gunung Ledang–Sungai Muar sebagai koridor eko-agropelancongan.
Dalam masa yang sama, kemudahan dan ruang untuk kegunaan rakyat turut terus diberi perhatian. Saya berkesempatan meninjau Laman Mahkota Tangkak termasuk Taman Rekreasi Awam Tangkak yang telah dinaik taraf dengan kemudahan yang lebih selesa untuk masyarakat setempat. Turut dibincangkan beberapa cadangan termasuk Medan Niaga Bangsa Johor @ Pitstop Tangkak serta Taman Komuniti dan Taman Tema Air Mini Bangsa Johor @ Tangkak sebagai usaha merancakkan aktiviti ekonomi dan menyediakan lebih banyak ruang riadah untuk rakyat.
Dalam kesempatan yang ada, saya turut meluangkan masa bersama masyarakat dalam Majlis Jalinan Rakyat Daerah Tangkak, selain menyampaikan bantuan mesin dan peralatan perniagaan PUJB berjumlah RM44,330 kepada 13 usahawan dari DUN Tangkak, Serom dan Gambir. Semoga bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan, meningkatkan pendapatan sekali gus terus menjadi sebahagian daripada pertumbuhan ekonomi daerah.
Saya yakin Tangkak mempunyai kekuatan dan potensi besar yang perlu dimanfaatkan sebaiknya. Semoga setiap perancangan yang digerakkan dapat membuka lebih banyak ruang rezeki, meningkatkan kualiti hidup rakyat Tangkak serta menyumbang kepada kemajuan Johor secara keseluruhannya. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah




