Majlis Malam Apresiasi Dewan Muda Johor 2026 Di Iskandar Puteri

Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan hadir ke Majlis Malam Apresiasi Dewan Muda Johor 2026 di Iskandar Puteri, bersama barisan alumni dan ahli Dewan Muda Johor yang membawa suara serta aspirasi generasi muda negeri ini.

Dewan Muda Johor (DMJ) yang bermula sejak 2018 merupakan platform terbuka untuk anak muda Johor daripada pelbagai latar belakang yang membincangkan isu semasa serta membahaskan perkara berkaitan dasar negeri. Pada masa sama, platform ini menjadi medan membina kemahiran kepimpinan, komunikasi dan pemikiran kritis dalam kalangan anak muda.

Majlis ini turut meraikan perjalanan dan sumbangan warga DMJ menerusi Anugerah Perwakilan Terbaik, Anugerah Pembahas Terbaik dan Anugerah Ikon Alumni, selain penghargaan kepada barisan Speaker dan Timbalan-Timbalan Speaker DMJ. Sehingga kini, DMJ telah menghimpunkan 360 alumni dan ahli, termasuk 112 orang bagi sesi 2026/2027.

Orang Muda Johor sentiasa dekat di hati saya. Saya percaya mereka bukan sekadar pemimpin masa hadapan, tetapi mempunyai peranan penting dalam membentuk Johor hari ini. Sebab itu, ruang seperti DMJ mesti dimanfaatkan untuk berani bersuara, membawa idea baharu dan mengangkat perkara yang benar-benar dekat dengan kehidupan serta masa depan generasi mereka.

Kepada seluruh anak muda Johor, jangan takut untuk bermula, jangan takut untuk bersuara dan jangan takut membawa perubahan. Gunakan setiap peluang untuk menimba pengalaman, membina kemampuan dan menjadi sebahagian daripada penyelesaian. Johor memerlukan anak muda yang bukan hanya mempunyai cita-cita besar, tetapi berani untuk mencapainya.

Tahniah saya ucapkan kepada seluruh warga dan alumni Dewan Muda Johor. Semoga DMJ terus menjadi platform yang melahirkan lebih ramai anak muda Johor yang berani membawa idea, matang dalam menyuarakan pandangan dan bersedia memikul tanggungjawab untuk bersama-sama membina masa depan Johor yang lebih baik. Insya-Allah. 

Allah Peliharakan Sultan, Allah Berkati Johor, Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor

Skip to content