Solat Jumaat Di Masjid Jamek Bandar Baru Uda Dan Program Infaq Jumaat Johor
Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan menunaikan Solat Jumaat bersama para jemaah di Masjid Jamek Bandar Baru Uda. Menerusi Program Infaq Jumaat Johor, usaha menyantuni masyarakat ini terus diperkasa bagi mengeratkan ukhuwah serta menyuburkan budaya berkongsi rezeki dan amalan kebajikan.
Khutbah Jumaat yang bertajuk “Kewajipan Memelihara Diri dan Nyawa” mengingatkan kita bahawa tubuh badan, kesihatan dan kehidupan merupakan amanah daripada Allah SWT yang wajib dipelihara. Islam menuntut umatnya menjaga kesihatan, menjauhi perkara yang memudaratkan serta memelihara kebersihan diri dan persekitaran demi kesejahteraan bersama.
Selesai solat, sebanyak 400 pek makanan disediakan untuk dikongsikan bersama para jemaah dan masyarakat yang hadir. Inisiatif ini diharap dapat membantu meringankan keperluan harian penerima, di samping menyemai rasa syukur dan keprihatinan terhadap sesama insan.
Sesungguhnya, amalan bersedekah bukan sekadar berkongsi rezeki, malah mencerminkan keimanan dan kepedulian kita terhadap saudara yang memerlukan. Semangat kebersamaan dan keikhlasan semua pihak yang menjayakan program ini membuktikan bahawa setiap sumbangan, walaupun kecil, mampu membawa makna besar kepada mereka yang memerlukan.
Marilah kita terus memperbanyakkan amal kebajikan, memelihara amanah Allah SWT dan menghulurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing. Semoga setiap kebaikan yang dilakukan diterima sebagai amal soleh serta membawa rahmat, keberkatan dan kesejahteraan kepada seluruh Bangsa Johor. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah




