Majlis Perasmian Penutup JTDC Mega Job Fair Dan JTDC Mega Connect 2026 Di TMIYC Iskandar Puteri
Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang bersama lebih 1,000 pengunjung yang terdiri daripada mahasiswa IPTA, IPTS dan TVET serta belia pencari kerja sempena Majlis Perasmian Penutup JTDC Mega Job Fair dan JTDC Mega Connect 2026 di TMIYC Iskandar Puteri.
Program ini menjadi platform penting dalam menghubungkan pencari kerja, khususnya golongan belia dan graduan, dengan majikan serta pemain industri di Johor. Penganjuran ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri bersama Johor Talent Development Council (JTDC) dan Unit Strategik Modal Insan (SMI) dalam memperkukuh pembangunan bakat tempatan, memenuhi keperluan tenaga kerja industri serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti untuk Bangsa Johor.
Saya turut mengambil kesempatan melawat booth pameran yang menghimpunkan 44 syarikat daripada pelbagai sektor, bersama 9 agensi dan 8 pempamer TVET. Secara keseluruhan, sebanyak 3,008 kekosongan jawatan ditawarkan, termasuk 977 kekosongan dengan gaji melebihi RM4,000 sebulan dan 2,031 kekosongan dengan gaji di bawah RM4,000. Peluang pekerjaan ini turut merangkumi pelbagai tahap kelayakan, daripada SPM dan diploma hingga ke peringkat ijazah dan setaraf.
Saya difahamkan bahawa sepanjang tiga hari penganjuran, lebih 1,000 calon telah berjaya memperoleh pekerjaan. Tahniah diucapkan kepada semua calon yang berjaya! Pencapaian ini membuktikan bahawa usaha mempertemukan pencari kerja dengan majikan secara langsung mampu membuka ruang kerjaya yang lebih luas kepada Bangsa Johor untuk membina kerjaya dan meningkatkan taraf hidup di negeri sendiri.
Insya-Allah, Kerajaan Negeri Johor dengan kerjasama agensi berkaitan akan terus mempergiat usaha memperkukuh pembangunan modal insan dan memperluas akses kepada peluang pekerjaan berkualiti, selari dengan aspirasi Maju Johor 2030.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor




