Forum Towards A Futuristic Nation: Leadership, Innovation And Transformation
Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang berkongsi pandangan bersama Saudara Khairy Jamaluddin dan Dato’ Seri Amirudin Shari dalam forum “Towards a Futuristic Nation: Leadership, Innovation and Transformation” sempena International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2026 di WTCKL yang menghimpunkan lebih 1,200 pemimpin mahasiswa dari Malaysia dan 53 negara lain untuk bertukar pandangan mengenai kepimpinan, transformasi dan masa depan generasi muda.
Saya turut berkongsi perjalanan transformasi Johor menerusi aspirasi Maju Johor 2030. Alhamdulillah, ekonomi Johor berkembang 8% tahun lalu, tertinggi di Malaysia, dengan pencapaian pelaburan yang memberangsangkan. Namun, kita tidak boleh terlalu selesa dengan kejayaan hari ini. Kalau mahukan hasil luar biasa, cara berfikir dan gerak kerja kita juga mesti luar biasa.
Menerusi pelaburan yang masuk terutamanya melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), keutamaan kita adalah membuka lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada anak tempatan, membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkembang serta memastikan pembangunan negeri terus seimbang dan lestari.
Dalam soal kepimpinan, saya percaya perubahan mesti bermula daripada pemimpin sendiri. Setiap tanggungjawab adalah amanah yang perlu digalas dengan integriti, keadilan dan keikhlasan. Kita mesti berani membuat perubahan, menunjukkan teladan dan memastikan setiap dasar yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Pembangunan Orang Muda Johor juga akan terus menjadi keutamaan dalam aspirasi Maju Johor 2030. Saya mahu anak muda kita bukan hanya menjadi pemerhati kepada perubahan, tetapi merebut peluang daripada kepesatan pembangunan negeri, melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran serta berani menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin masa depan.
Semoga perkongsian ini menjadi pembakar semangat kepada generasi muda untuk terus berusaha, mencabar kemampuan diri dan berani memimpin perubahan. Masa depan Johor dan Malaysia bukan hanya bergantung pada apa yang kita bina hari ini, tetapi juga pada generasi pemimpin yang kita lahirkan untuk meneruskannya. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah




