Pembentangan Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Johor (JETP) Daerah Kota Tinggi

Syukur Alhamdulillah, saya bersama barisan kepimpinan Negeri Johor meneruskan lawatan kerja ke daerah Kota Tinggi bagi meneliti pembangunan daerah menerusi pembentangan Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Johor (JETP) Daerah Kota Tinggi.

Menerusi JETP, Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh potensi Kota Tinggi sebagai hab kimia hijau, pertanian dan pelancongan yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi daerah. Berteraskan kekuatan dan kelebihan sedia ada, pembangunan yang dirancang bertujuan untuk menarik lebih banyak pelaburan, merancakkan aktiviti ekonomi, sekaligus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan masyarakat setempat.

Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.33 juta bagi pelaksanaan 18 projek pembangunan setempat. Inisiatif ini merangkumi penambahbaikan kemudahan awam dan komuniti, pembaikan jalan serta jambatan, pemasangan lampu solar dan penyelenggaraan longkang serta sungai demi meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan masyarakat di daerah Kota Tinggi.

Saya juga berkesempatan bertemu dan beramah mesra dengan masyarakat Kota Tinggi menerusi Majlis Jalinan Rakyat. Terima kasih atas sambutan dan sokongan yang diberikan. Semangat kebersamaan dan hubungan erat antara rakyat dengan kepimpinan inilah yang menjadi kekuatan Bangsa Johor.

Kerajaan Negeri komited memastikan pembangunan Kota Tinggi terus diperkasa demi kesejahteraan rakyat. Semoga segala perancangan yang diusahakan dipermudahkan, membawa limpahan manfaat kepada masyarakat setempat dan menjadikan Kota Tinggi sebuah daerah yang terus maju serta makmur. Insya-Allah. 

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #KotaTinggi #JETP

Skip to content