Semarak Subuh Di Masjid Jamek Batu 10, Skudai

Kepada Allah Kita Berserah

لا حول ولا قوة إلا بالله

Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah.

Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang menunaikan Solat Subuh berjemaah bersama masyarakat setempat di Masjid Jamek Batu 10, Skudai menerusi Program Semarak Subuh Johor. Inisiatif ini bertujuan mengimarahkan masjid sebagai pusat ibadah dan ilmu, sekali gus mendekatkan masyarakat dengan ajaran Islam.

Selesai Solat Subuh, para jemaah mengikuti Tazkirah Subuh bertajuk “3 Amalan, Pahalanya Tidak Terhitung Banyaknya” yang disampaikan oleh Tuan Haji Mohd Taufik bin Dato’ Haji Shamsudi, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Negeri Johor.

Antara perkongsian yang diketengahkan ialah kemuliaan ibadah puasa yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, malah mendidik jiwa, membentuk disiplin diri dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Kita juga diingatkan tentang keutamaan bersabar. Sabar mudah diungkapkan, namun sukar diamalkan kerana menuntut kekuatan jiwa dan keimanan. Dalam masa yang sama, kita dituntut untuk memaafkan kesalahan orang lain serta terus melakukan kebaikan tanpa mengharapkan balasan.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 177, yang bermaksud: “Dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.” Ayat ini mengingatkan kita bahawa ketakwaan turut tercermin melalui kesabaran dan akhlak yang mulia.

Semoga kita terus berusaha menjadi insan yang lebih baik, sabar menghadapi ujian, berlapang dada memaafkan kesalahan serta sentiasa melakukan kebaikan. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang memberi manfaat kepada orang di sekeliling. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #SemarakSubuhJohor #RapatkanSaf

Skip to content