Majlis Pelancaran Apollo 2.0 Di Larkin, Johor Bahru
Siapa yang tidak kenal dengan jenama Apollo? Kek lapis coklat dan wafer Apollo pasti mengimbau kenangan zaman kanak-kanak kita. Jenama kelahiran Johor ini sememangnya cukup dekat di hati rakyat Malaysia.
Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan merasmikan Majlis Pelancaran Apollo 2.0 di Larkin, Johor Bahru, sekali gus menyaksikan satu lagi perkembangan membanggakan syarikat tempatan yang telah bertapak selama 73 tahun sejak 1953.
Selepas lebih tujuh dekad, Apollo terus melangkah ke hadapan menerusi pelan pelaburan bernilai RM150 juta bagi memodenkan operasi kilangnya. Penggunaan teknologi automasi telah meningkatkan kapasiti pengeluaran sebanyak 40 peratus, sekali gus memperkukuh keupayaan Apollo untuk terus berkembang dan bersaing dalam industri makanan.
Apa yang turut menggembirakan ialah peluang pekerjaan yang diwujudkan buat Bangsa Johor. Ketika ini, Apollo mempunyai 774 pekerja, termasuk 527 warganegara Malaysia, dengan juruteknik menerima purata gaji hampir RM5,000, manakala jurutera melebihi RM7,000 sebulan. Inilah antara manfaat yang kita mahu lihat apabila syarikat tempatan terus berkembang, dengan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran dan pendapatan yang lebih baik.
Sekalung penghargaan juga buat Apollo atas sumbangan RM250,000 kepada Tabung Kebajikan dan Pelajaran Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) bagi membantu kebajikan serta pendidikan anak-anak Johor. Sumbangan ini amat bermakna dalam usaha membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada generasi muda.
Semoga Apollo terus berkembang maju dan membawa nama Johor lebih jauh ke pasaran antarabangsa. Mudah-mudahan kejayaan jenama tempatan yang sudah menemani kita sejak kecil ini terus menjadi kebanggaan Bangsa Johor, di samping membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menyumbang kepada kemakmuran negeri, insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor




