Agenda Pelancongan Negeri Johor
Syukur Alhamdulillah, memasuki hari keenam Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15, saya telah menjawab soalan yang diajukan oleh Yang Berhormat Pulai Sebatang, Sedili, Johor Lama, Pasir Raja, Tenang, Bekok, Tangkak, Simpang Jeram dan Maharani mengenai agenda pelancongan negeri Johor.
Seperti yang semua sedia maklum, menerusi pembentangan Belanjawan Johor 2024 yang lalu, saya telah mengumumkan bahawa tahun 2026 merupakan Tahun Melawat Johor dengan sasaran 12 juta pelancong ke negeri ini.
Seiring dengan itu, dua aspek utama telah digariskan dalam menjayakan agenda Tahun Melawat Johor 2026 iaitu:
1. RM 115.35 juta bagi menaik taraf infrastruktur pelancongan yang sedia ada; dan
2. RM 7.2 juta bagi mempromosikan produk-produk pelancongan yang telah dinaiktaraf bagi menarik lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa.
Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri telah mengkorporatkan Tourism Johor dengan menubuhkan Majestic Tourism Johor Sdn. Bhd. bagi membenarkan ia menggunapakai struktur korporat untuk melantik golongan profesional dalam untuk memperkasakan sektor pelancongan.
Selain itu, Johor juga telah menetapkan kadar duti hiburan taman tema pada 5% bermula 1 Januari 2025 berbanding 25% sebelum ini bagi menarik lebih ramai pelabur taman tema ke negeri ini.
Semoga segala usaha ini menjadikan Johor destinasi pelancongan utama di Malaysia dan rantau ini seterusnya memberi manfaat kepada seluruh Bangsa Johor seiring dengan Tahun Melawat Johor 2026. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor