Forest City Special Financial Zone (FC-SFZ)
Syukur Alhamdulillah. Dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15, saya telah menjawab soalan yang diajukan oleh Yang Berhormat Penawar dan Bukit Batu mengenai Forest City Special Financial Zone (FC-SFZ).
Saya telah berkongsi bahawa FC-SFZ akan memberi tumpuan kepada dua sektor utama iaitu:
1. Perkhidmatan Perbankan dan Kewangan termasuk Family Office;
2. Perkhidmatan Logistik, Pusat Perkhidmatan Global, dan Pemindahan Operasi, disokong oleh infrastruktur canggih dan teknologi terkini.
Semasa persidangan tersebut, saya turut berkongsi perincian insentif yang ditawarkan dan juga perkembangan terkini pelaksanaan SFZ di Forest City. Antaranya adalah:
1. Majlis Pengumuman Pakej Insentif Cukai;
2. Pusat Pemudahcara Pelaburan Malaysia – Johor (IMFC-J) yang bakal dibuka awal tahun depan;
3. Penubuhan pejabat satelit Johor Talent Development Council (JTDC) yang juga dijangka siap tahun depan;
4. Kompleks Kastam Diraja Malaysia yang telah dirasmikan pada 10 November 2024.
Pelaksanaan SFZ ini dijangka membawa pelbagai manfaat kepada rakyat Johor, termasuklah peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dalam sektor kewangan, logistik, teknologi maklumat, dan perkhidmatan sokongan. Selain itu, pertumbuhan SFZ ini juga akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan melalui peningkatan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan yang akan memberi impak positif kepada perniagaan tempatan, sekaligus mengukuhkan kedudukan Johor sebagai hab kewangan serantau yang kompetitif di peringkat global.
Insya-Allah, dengan langkah-langkah strategik yang dirancang, FC-SFZ akan memacu pertumbuhan ekonomi Johor secara mampan, seiring dengan matlamat mencapai status negeri maju menjelang 2030. Kerajaan Negeri komited untuk memastikan setiap usaha ini memberi limpahan manfaat kepada Bangsa Johor.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor