Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa 4
Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan balik ke kawasan bagi menyampaikan Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa 4 bagi kategori rayuan kepada seramai lebih 4,000 penerima di DUN Machap, melibatkan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak lebih RM840,000.
Penerima terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, anak yatim, suri rumah, pasangan baharu berkahwin, penjaja, petugas keselamatan dan pembersihan, penggali kubur serta beberapa kategori lain yang turut menerima manfaat melalui fasa rayuan kali ini.
Saya sedar dan insaf, masih ada rakyat yang memerlukan perhatian dan masih ada ruang yang perlu kita perbaiki. Sebab itulah ruang rayuan ini diwujudkan supaya mereka yang mungkin tercicir sebelum ini dapat dinilai semula dan sekiranya memenuhi kelayakan turut menerima manfaat.
Walaupun mungkin nilainya tidak sebesar mana, saya berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaan harian para penerima. Insya-Allah, selagi ada kemampuan dan rezeki negeri, Kerajaan Negeri akan terus berusaha memastikan hasil negeri dapat dikembalikan semula kepada rakyat melalui bantuan, kemudahan dan inisiatif yang memberi manfaat secara langsung.
Dalam masa yang ada, saya berkesempatan Ziarah Kasih empat buah keluarga di sekitar Machap. Ada yang sedang berdepan kesukaran hidup dan ada yang diuji dengan masalah kesihatan. Saya berkesempatan bertanya khabar, mendengar sendiri keadaan mereka serta menyampaikan sedikit bantuan, di samping melihat perkara yang boleh terus diberi perhatian dan dibantu.
Semoga setiap bantuan yang disampaikan membawa sedikit kelegaan kepada para penerima. Marilah kita sama-sama mendoakan agar Johor terus dilimpahi rezeki dan keberkatan, supaya lebih banyak hasil negeri dapat dikembalikan semula kepada Bangsa Johor yang memerlukan. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah




