JB Festival 2026 Di Dataran 0KM Dan Jalan Dato’ Onn, Johor Bahru
Syukur Alhamdulillah, pusat bandar Johor Bahru kini tampil dengan wajah baharu menerusi usaha menaik taraf infrastruktur dan pengindahan Johor Bahru City Centre dengan peruntukan RM25 juta, sekali gus mewujudkan ruang bandar yang lebih selesa, menarik dan mesra pengguna untuk dinikmati bersama.
Saya berkesempatan bersama Bangsa Johor di JB Festival 2026 yang berlangsung di Dataran 0KM dan Jalan Dato’ Onn, Johor Bahru. Festival selama lima hari, dari 16 hingga 20 September ini, menghidupkan suasana pusat bandar dengan pelbagai pengisian seni, budaya, sukan dan komuniti termasuk Keretapi Sarong, 0KM Neon Fun Run, Rentak Budaya serta persembahan ghazal dan zapin.
Saya turut berkesempatan menyaksikan Bando JB Light Show yang menerangi bangunan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) serta pertunjukan bunga api, selain menyantuni para peniaga tempatan yang menawarkan pelbagai produk dan juadah. Paling menggembirakan apabila melihat kawasan ini kembali hidup, dipenuhi pengunjung dan pada masa yang sama membuka lebih banyak ruang rezeki kepada peniaga serta komuniti setempat.
Terima kasih kepada MBJB serta semua pihak yang terus bekerja keras menceriakan dan menghidupkan pusat bandar Johor Bahru. Usaha ini bukan hanya memperindah wajah bandar, tetapi juga menjadikan ruang awam lebih dekat dengan rakyat serta memberi nilai tambah kepada ekonomi dan kehidupan komuniti setempat.
Semoga Johor Bahru terus berkembang sebagai sebuah bandar raya yang selesa untuk didiami, menarik untuk dikunjungi dan mampu memberi limpahan ekonomi yang lebih luas kepada rakyat, peniaga serta komuniti setempat. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #MajesticJohor #TahunMelawatJohor2026




