Bantuan Khas Kewangan Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) Gelombang Kelima

KENYATAAN MEDIA
YAB DATO’ ONN HAFIZ GHAZI
MENTERI BESAR JOHOR

***********

BANTUAN KHAS KEWANGAN BENCANA BANJIR MONSUN TIMUR LAUT (MTL) GELOMBANG KELIMA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera dan Salam Maju Johor

1. Kerajaan Negeri Johor amat berdukacita dengan bencana banjir yang melanda dan memberi kesan kepada 13,089 orang mangsa daripada 3,749 keluarga, dengan pembukaan sebanyak 100 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam daerah yang terjejas.

2. Atas sebab itu, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) Gelombang Kelima berjumlah RM11,247,000.00. Sebanyak RM3,000.00 akan disalurkan sebelum hari raya Aidilfitri kepada 3,749 Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar di PPS. Bantuan ini merupakan hasil kerjasama antara Kerajaan Negeri, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ).

3. Kerajaan Negeri turut prihatin terhadap kesan bencana ini ke atas para peniaga Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri yang terjejas di kawasan-kawasan yang dikenal pasti. Oleh itu, bagi meringankan beban mereka, Kerajaan Negeri mengumumkan bantuan sebanyak RM500 bagi setiap peniaga yang terjejas di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT). Bantuan ini akan memanfaatkan sebanyak 441 peniaga di dua PBT yang terlibat.

4. Senarai lokasi dan jumlah peniaga yang menerima bantuan adalah seperti berikut:
i. Bazar Tebing Dato’ Onn – 48 peniaga
ii. Bazar Jalan Pandan Ria 3 – 30 peniaga
iii. Bazar Jalan Mata Kucing, Kampung Pasir – 66 peniaga
iv. Bazar Pesiaran Dahlia – 150 peniaga
v. Bazar Aidilfitri Majlis Daerah Kota Tinggi – 147 peniaga

5. Selain itu, Kerajaan Negeri melalui 9 PBT yang terlibat, iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Majlis Perbandaran Batu Pahat, Majlis Perbandaran Kluang, Majlis Perbandaran Kulai, Majlis Perbandaran Pontian, Majlis Daerah Simpang Renggam, dan Majlis Daerah Kota Tinggi, bersetuju untuk memberikan pengecualian kepada peniaga bazar seperti berikut:
i. Bazar Aidilfitri – pengecualian semua caj kecuali sewaan.
ii. Bazar Ramadan – pengecualian semua caj yang dikenakan oleh PBT

6. Bantuan ini akan memberi manfaat kepada 9,839 peniaga bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di 180 lokasi seluruh negeri Johor.

7. Sebanyak 6 masjid, 17 surau, dan 43 institusi pendidikan yang merangkumi sekolah agama, sekolah rendah, sekolah menengah, serta kolej vokasional yang terjejas akibat banjir juga akan menerima bantuan baik pulih daripada Kerajaan Negeri.

8. Bagi mangsa banjir yang terjejas tetapi tidak mendaftar di PPS masih berpeluang untuk mengemukakan rayuan bagi pertimbangan bantuan. Permohonan boleh dibuat di Pejabat Daerah yang terlibat iaitu Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi, Pontian, Kluang, dan Batu Pahat sehingga akhir April 2025.

9. Kerajaan Negeri Johor komited untuk terus berusaha sedaya upaya dalam membantu mereka yang terkesan oleh bencana ini, demi kesejahteraan dan kestabilan hidup semua. Semoga segala bantuan ini dapat meringankan beban mangsa banjir serta memberi sinar harapan untuk mereka bangkit semula. Insya-Allah.

Sekian, terima kasih.
DATO’ ONN HAFIZ BIN GHAZI
Menteri Besar Johor
22 Mac 2025