PPS Dewan MBIP Skudai, Yang Kini Menempatkan 169 Mangsa Daripada 61 Keluarga
Luluh hati saya mendengar rintihan dan luahan mereka yang terkesan akibat bencana ini.
Mereka diuji dengan kesusahan yang tidak terduga, rumah ditenggelami air, harta benda musnah, dan anak-anak kecil yang terpaksa berlindung di pusat pemindahan. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Mereka diuji dengan kesusahan yang tidak terduga, rumah ditenggelami air, harta benda musnah, dan anak-anak kecil yang terpaksa berlindung di pusat pemindahan. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Setakat data terkini, jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat kepada 5,092 orang daripada 1,284 keluarga, dengan 79 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih beroperasi di lima daerah terjejas. Saya turut turun padang ke PPS Dewan MBIP Skudai, yang kini menempatkan 169 mangsa daripada 61 keluarga.
Menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), hujan lebat dijangka berterusan sehingga 21 Mac 2025 (Jumaat). Justeru, saya merayu kepada seluruh Bangsa Johor yang berada di kawasan berisiko tinggi agar berwaspada, menjaga keselamatan diri dan keluarga, serta mematuhi arahan pihak berkuasa. Jangan ambil risiko yang boleh membahayakan nyawa.
Dalam menghadapi ujian ini, Kerajaan Negeri tidak akan sesekali berpeluk tubuh. Kami sedang dan akan terus menggerakkan semua usaha untuk menyelaras bantuan, memastikan bekalan makanan mencukupi, serta menyediakan segala keperluan asas agar kebajikan mangsa terjamin.
Marilah kita sama-sama berdoa agar hujan segera reda dan keadaan kembali pulih seperti sediakala. Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada semua yang terjejas. Moga Ramadan ini tetap membawa keberkatan buat seluruh Bangsa Johor meskipun dalam ujian yang berat ini. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor