Chingay Johor 2025 Meraih Lebih 100,000 Pengunjung dengan Sejuta Semangat

Bandaraya Johor Bahru kembali bersinar dengan kemeriahan Pesta Perarakan Chingay Tahun Baharu Cina 2025, malam tadi. Sebuah perayaan penuh tradisi yang telah menjadi simbol warisan, perpaduan, dan keharmonian masyarakat majmuk di negeri Johor.

Majlis penuh bersejarah ini telah dirasmikan oleh Yang Amat Mulia, Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman ibni Tunku Ibrahim Ismail, Tunku Temenggong Johor, yang turut menyaksikan perarakan sepanjang 10km dengan pelbagai persembahan unik dan memukau.

Lebih 100,000 pengunjung membanjiri pusat bandar bagi melihat sendiri keindahan Chingay yang menampilkan gabungan elemen kebudayaan, tradisi, dan seni persembahan yang telah diwarisi turun-temurun. Kehadiran pengunjung yang begitu ramai membuktikan sambutan yang luar biasa terhadap perayaan ini sebagai salah satu acara kebudayaan paling dinanti di Malaysia.

Chingay Johor bukan sekadar perarakan, tetapi lambang penyatuan budaya yang diraikan bersama oleh rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang. Keunikan tradisi ini terus menjadi kebanggaan negeri Johor, memperkukuhkan semangat perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat.