Dua Institusi Pendidikan Bertaraf Dunia Bersetuju Untuk Bekerjasama Dengan Kerajaan Negeri Johor
Menjunjung titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, yang menekankan bahawa kolaborasi dengan institusi pendidikan bertaraf dunia amat penting bagi memperkasa Bangsa Johor agar lebih berdaya saing untuk membangunkan negeri ini.
Syukur Alhamdulillah, dua lagi institusi pendidikan bertaraf dunia bersetuju untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Johor demi pemerkasaan, kebolehsaingan dan kebolehpasaran anak-anak muda Johor. Dua institusi penyelidikan terkemuka dunia itu adalah Stanford University dan MIT-Massachusetts Institute of Technology.
Di Stanford University, Johor membincangkan potensi kerjasama dengan Stanford Institute for Human-Centered Artificial Intelligence (HAI) dan Center for Sustainability in Southeast Asia (CSSEA) meliputi bidang AI, kelestarian, dan peralihan tenaga. Stanford turut berkongsi model ekosistem penyelidikan dan bakat yang membentuk kejayaan Silicon Valley, menjadi inspirasi kepada Johor dalam memperkukuh Johor–Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ).
Pertemuan bersama MIT pula menumpukan bidang AI, tenaga boleh diperbaharui, bioteknologi, ekonomi digital dan kejuruteraan, seiring aspirasi Johor membina ekonomi berasaskan pengetahuan. Antara potensi kerjasama yang dibincangkan termasuk memperkukuh fakulti AI dan kejuruteraan di Johor, pembangunan bakat tempatan berkemahiran tinggi serta pembentukan ekosistem start-up berasaskan model kejayaan Kendall Square di MIT.
Saya yakin kerjasama bersama Stanford University dan MIT ini akan memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab pendidikan dan inovasi serantau. Semoga inisiatif ini menjadi asas kukuh dalam melahirkan bakat bertaraf dunia, mempercepat kemajuan teknologi, dan memastikan manfaatnya benar-benar dirasai rakyat Johor. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




