Equinix menekankan komitmen terhadap pembangunan bakat Johor
Syukur Alhamdulillah, Johor terus menarik keyakinan syarikat global dengan mengadakan pertemuan bersama Equinix Inc., peneraju dunia dalam penyediaan pusat data dan sambungan digital, menandakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab digital serantau.
Equinix telah melabur USD40 juta (RM188 juta) dalam pembinaan pusat data mereka di Johor, JH1 di Nusajaya Tech Park. Fasiliti seluas 1,800 meter persegi ini direka dengan tahap kebolehoperasian 99.999% uptime dan dikuasakan sepenuhnya oleh tenaga boleh diperbaharui, sejajar dengan aspirasi Johor membangunkan ekonomi digital hijau yang mampan.
Mereka juga menyatakan minat untuk mengembangkan operasi dengan pusat data kedua di Johor, yang berpotensi membawa pelaburan mencecah bilion ringgit. Langkah ini akan melahirkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, merancakkan industri sokongan, serta mempercepatkan pemindahan teknologi yang memberi manfaat langsung kepada anak muda Johor.
Dalam pertemuan ini, Equinix turut menekankan komitmen terhadap pembangunan bakat Johor yang bukan sahaja melalui peluang pekerjaan bergaji premium dengan purata melebihi RM4,000 sebulan, tetapi juga melalui penubuhan program pendidikan di bawah Equinix Foundation untuk menyokong pembangunan bakat di Johor.
Kerajaan Negeri yakin segala usaha ini mampu menjadi pemangkin pembangunan modal insan, inovasi tempatan, dan kelestarian sumber. Semoga kerjasama ini memperkukuh kedudukan Johor dalam ekonomi digital, sekali gus menjamin masa depan yang lebih makmur dan berdaya saing untuk seluruh Bangsa Johor. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




