Festival Antarabangsa 24 Festive Drums Ke-7 di Permaisuri Zarith Sofiah Opera House
Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan menghadiri Festival Antarabangsa 24 Festive Drums Ke-7 di Permaisuri Zarith Sofiah Opera House, Johor Bahru, yang menghimpunkan para penggiat dan kumpulan persembahan dari Malaysia, China, Singapura dan Taiwan.
Johor cukup berbangga kerana seni 24 Festive Drums lahir di Johor Bahru pada tahun 1988. Bermula dengan pasukan pertama dunia di Sekolah Tinggi Foon Yew, seni yang bermula di bumi Johor ini kini berkembang kepada lebih 750 pasukan dengan sekitar 80,000 pemain di seluruh dunia.
Selepas diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2009, usaha kini sedang digerakkan untuk mencalonkan 24 Festive Drums sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO. Usaha ini bukan sahaja penting untuk memelihara sejarah dan memastikan legasinya terus diwarisi generasi akan datang, tetapi juga untuk memperkenalkan kepada dunia bahawa sebuah warisan budaya Malaysia yang begitu unik ini bermula dari Johor.
Setiap bangsa mempunyai budaya dan warisan tersendiri yang perlu dihargai dan dipelihara. Kepelbagaian inilah yang memperkayakan identiti Johor dan mengukuhkan semangat Bangsa Johor. Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha memelihara dan memperkasa warisan setiap kaum, termasuk 24 Festive Drums yang lahir di Johor dan kini dikenali di peringkat antarabangsa.
Semoga usaha memelihara dan mengangkat warisan ini akan terus menyatukan masyarakat, memberi inspirasi kepada generasi akan datang serta membawa nama Johor bersama kisah, identiti dan semangat Bangsa Johor ke persada dunia. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor




