Forum Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ)
Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang menghadiri Forum Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) 2025 anjuran The Edge dan HSBC yang berlangsung di DoubleTree by Hilton, Johor Bahru.
JS-SEZ bukan sekadar satu kerangka ekonomi, tetapi merupakan satu visi besar untuk menjadikan Johor sebagai pemacu utama pertumbuhan negara di Selatan. Forum ini menghimpunkan lebih 1,200 peserta secara fizikal dan dalam talian, merangkumi tokoh industri, pembuat dasar dan pelabur dari Malaysia, Singapura dan rantau ASEAN.
Sesi panel turut menampilkan nama-nama besar seperti Microsoft, Princeton Digital Group dan AirTrunk yang berkongsi pandangan tentang keperluan dasar yang jelas, mesra pelabur serta kerjasama rentas sempadan yang lebih progresif.
Semua ini seiring dengan aspirasi untuk meletakkan JS-SEZ sebagai zon pertumbuhan bertaraf dunia yang bukan sahaja menarik pelaburan berkualiti tinggi, tetapi turut memberi impak langsung dan berterusan kepada rakyat Johor.
Saya berharap agar lebih ramai pelabur, tempatan mahupun antarabangsa, untuk melihat Johor sebagai rakan strategik dalam menjayakan agenda pertumbuhan serantau. Dengan kekuatan lokasi, jaringan infrastruktur moden dan inisiatif-inisiatif seperti IMFC-J, Johor Super Lane (JSL), dan Johor Talent Development Council (JTDC), Johor bersedia menjadi penanda aras baharu dalam landskap ekonomi ASEAN.
Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak, JS-SEZ akan direalisasikan dan membawa manfaat jangka panjang kepada Johor dan Malaysia.
Turut hadir, YB Tuan Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; YB Tuan Lee Ting Han, EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor; Dato’ Haji Noorazam bin Dato’ Osman, Ketua Eksekutif IRDA; Haji Natazha bin Hariss, Ketua Eksekutif Invest Johor; Dato’ Ho Kay Tat, Penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan The Edge; serta Dato’ Omar Siddiq, Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




