Nikkei Forum Medini Johor 2025

Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan mengiringi YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Nikkei Forum Medini Johor 2025 yang berlangsung di Medini, Iskandar Puteri.

Bertemakan “Memacu Hab Inovasi Asia”, penganjuran forum antarabangsa ini menjadi titik penting dalam memperkukuh kedudukan Johor sebagai kuasa ekonomi baharu yang bersedia menerajui pembangunan rantau ini.

Forum selama dua hari anjuran Nikkei Inc., Nikkei Business Publication dan Iskandar Investment Berhad (IIB) berjaya membuka ruang kerjasama strategik dalam mengangkat Johor ke pentas global dengan kehadiran lebih 1,400 peserta dari seluruh dunia termasuk tokoh industri, pelabur dan pemikir serantau.

Gabungan dasar yang progresif, lokasi geografi yang strategik serta tadbir urus Kerajaan Negeri yang cekap terus menjadikan Johor sebagai contoh model pembangunan yang realistik dan berdaya tahan.

Johor juga komited untuk mempercepat peralihan kepada ekonomi bernilai tinggi, dengan tumpuan terhadap bidang seperti kecerdasan buatan (AI), reka bentuk cip semikonduktor, teknologi hijau serta kewangan digital.

Hasrat ini diperkuat melalui penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang menggalakkan kerjasama rentas sempadan dalam pelaburan, teknologi dan mobiliti bakat, serta didukung oleh inisiatif Johor Talent Development Council (JTDC) dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi.

Sebagai tuan rumah, Johor juga telah menonjolkan kekuatan Medini sebagai hab pelaburan dan konvensyen antarabangsa yang sedang pesat membangun. Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Nikkei kerana memilih Johor sebagai tuan rumah forum bertaraf dunia ini.

Semoga Johor akan terus melangkah ke hadapan sebagai peneraju inovasi, pelaburan dan kemakmuran serantau. Insya-Allah.

Turut hadir, Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YABhg. Tun Musa bin Hitam; Pengerusi Johor Economic, Tourism and Cultural Office Singapore (JETCO), YB Datuk Seri Utama Ir. Hasni Mohammad; Duta Besar Jepun ke Malaysia, TYT Noriyuki Shikata; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, YB Tuan Lee Ting Han; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (AMMK) Johor; Pengerusi dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir; Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB), Dato’ Idzham Mohd Hashim; serta Ketua-Ketua Jabatan, Agensi Persekutuan dan Negeri.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor