Hala Tuju Pembangunan Sektor Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Johor

Syukur Alhamdulillah, Johor terus menjadi peneraju dan penyumbang terbesar sektor pertanian negara setakat ini dengan mencatat nilai KDNK sebanyak RM17.21 billion atau 17.1% dari KDNK sektor pertanian negara.

Perjumpaan telah diadakan dengan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Arthur Joseph Kurup bagi membincangkan hala tuju pembangunan sektor pertanian dan keterjaminan makanan di Johor.

Kerajaan Negeri komited dalam memperkasakan Johor sebagai Food Basket kepada Malaysia dan Food Bank kepada negara serantau dan antarabangsa. Ini akan direalisasikan dengan meningkatkan pengeluaran produk agromakanan serta merancakkan aktiviti eksport hasil pertanian ke pasaran global.

Dalam memastikan prestasi pengeluaran hasil terus meningkat, Kerajaan Negeri dengan kerjasama kementerian akan memberi tumpuan khusus kepada bidang Penyelidikan & Pembangunan (R&D) khususnya untuk tanaman nanas, kelapa, durian, pisang dan betik.
Kerajaan Negeri Johor juga telah memperuntukkan RM18.48 juta bagi tahun 2025 untuk pelbagai inisiatif pembangunan pertanian. Inisiatif ini turut melibatkan kerjasama dengan agensi utama seperti Jabatan Pertanian, FAMA, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan, Johor Biotech, LPNM, dan FarmByte.

Kerajaan Negeri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang telah memperuntukkan lebih RM21 juta dalam Belanjawan 2025 melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan kepada negeri Johor bagi mempergiat usaha dan program berkaitan keterjaminan makanan.

Kerajaan Negeri yakin dengan kerjasama dan sokongan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, usaha berterusan ini bukan sahaja akan menjadikan Johor sebagai hab pengeluaran agromakanan utama, malah mampu meningkatkan pendapatan petani dan pengusaha, serta memastikan keterjaminan makanan yang lebih baik untuk Bangsa Johor dan Malaysia. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor