Penghargaan kepada Pihak Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya
Syukur Alhamdulillah. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya atas keprihatinan meluluskan peruntukan signifikan berjumlah RM263 juta bagi tahun 2025 untuk negeri Johor.
Terima kasih juga YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya kerana sudi menerima kunjungan hormat saya serta delegasi Kerajaan Negeri bagi membincangkan hala tuju pembangunan infrastruktur negeri Johor.
Menerusi perbincangan ini, beberapa isu dan perkara yang menjadi keutamaan negeri Johor telah dibangkitkan termasuklah projek hotspot banjir di Johor, projek pembangunan, serta penyelenggaraan jalan persekutuan dan jalan susur.
Selain itu, penyelesaian projek jejambat Meridin East Pasir Gudang yang terbengkalai sejak 2021. Kerajaan Negeri turut mengemukakan beberapa cadangan penyelesaian dimana langkah ini bakal membuka akses dua hala ke Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) serta mengurangkan kesesakan trafik di Pasir Gudang.
Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan komited untuk memastikan semua projek infrastruktur negeri Johor disiapkan mengikut garis masa yang ditetapkan, termasuk memastikan penyuraian trafik dapat dilaksanakan sepanjang tempoh pelaksanaan projek berjalan lancar.
Besar harapan Kerajaan Negeri agar segala permohonan dapat dipertimbangkan demi memastikan Johor terus maju sebagai negeri yang berdaya saing dan makmur. Semoga hasil pertemuan ini akan membawa berita baik untuk seluruh Bangsa Johor. Insya-Allah.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Ahmad bin Maslan; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad Salleh; Ketua Setiausaha KKR, Dato’ Seri Azman bin Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Dato’ Haji Lukman Bin Abu Bakar; serta Pengarah Jabatan Kerja Raya Johor, Tuan Ir. Zainal bin Tumian.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor