Jelajah Orang Johor (JOJ) 2025
Jelajah Orang Johor (JOJ) 2025 kini telah membuka tirainya!
Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan untuk merasmikan program JOJ 2025 di DUN Kukup, sebuah inisiatif Kerajaan Negeri untuk turun ke lapangan dan mendekati seluruh Bangsa Johor.
Program ini bukan sekadar lawatan semata-mata, tetapi komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan kepimpinan tertinggi negeri, ketua-ketua jabatan dan pemimpin akar umbi dapat mendengar sendiri denyut nadi rakyat serta memahami keperluan mereka.
Program JOJ menjadi platform hebahan dan penyampaian tentang setiap dasar dan inisiatif Kerajaan Negeri, di samping mendapat maklum balas secara terus demi memastikan pembangunan Johor bersifat menyeluruh dan inklusif.
Malah program JOJ mengetengahkan pelbagai usaha Kerajaan Negeri dalam membantu meringankan beban rakyat dan memastikan kehidupan yang lebih sejahtera. Antaranya adalah Jualan Kasih yang mendapat peruntukan keseluruhan sebanyak RM6.6 juta, program baik pulih/bina baru rumah yang diperuntukkan sebanyak RM27.7 juta, Program Dapur Kasih yang diperuntukkan RM3.9 juta, Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM243 juta kepada 231,000 penerima, Bantuan Majlis Agama Islam Negeri Johor sebanyak RM212 juta kepada 209,000 asnaf serta Bantuan Bilik Guru yang diperuntukkan RM5.97 juta kepada 1,194 sekolah seluruh Johor.
Setiap program dan inisiatif ini bukan bersifat one-off dan akan diteruskan ke seluruh DUN lain di negeri Johor.
Buat seluruh Bangsa Johor, nantikan kehadiran JOJ 2025 di kawasan anda!
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor