Berjumpa dan Beramah Mesra Bersama Keluarga Besar di Simpang Renggam

Syukur Alhamdulillah, setiap kali balik ke kawasan, hati saya sangat gembira kerana dapat berjumpa dan beramah mesra bersama keluarga besar saya di Simpang Renggam.

Program pertama saya dimulakan dengan penyerahan kunci rumah kepada keluarga asnaf, Puan Siti Jumiah Binti Md Ghafar di Kg Parit Salman dan Puan Zuliana Binti Mohd Hairi di Ulu Benut.

Semoga dengan adanya rumah yang lebih selesa dan selamat ini, mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik dan penuh harapan. Insya-Allah, ini adalah langkah kecil ke arah kehidupan yang lebih sejahtera buat Bangsa Johor yang memerlukan.

Seterusnya, saya hadir ke Program Jalinan Ukhuwah di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam, yang turut meraikan ulang tahun ke-25 Waqaf An-Nur. Dalam program ini, saya sempat menyampaikan pelbagai sumbangan, antaranya surat tawaran Program Pembangunan Usahawan Asnaf Streetfood, Kad Kesihatan Skim Perubatan An-Nur Care, sumbangan kepada Sekolah Agama Tarbiyah Husnul Khatimah (SATHK) Penjara Kluang, serta bakul makanan untuk golongan B40. Saya juga berbesar hati menyerahkan bantuan ‘Back to School’ kepada 1,000 murid, yang pastinya akan meringankan beban keluarga menjelang sesi persekolahan yang baru.

Pada sebelah petang, saya berkesempatan bertemu dan beramah mesra dengan penduduk Felda Ayer Hitam dalam sesi Sembang Santai. Saya mendengar pandangan serta luahan mereka mengenai pembangunan komuniti dan cara untuk memperbaiki kehidupan di kawasan ini. Di Kg Batu 6, Sri Lalang, saya turut menyertai Program Santuni Pekebun Kecil bersama RISDA dan menyerahkan mock cheque ‘Halal & AET’, serta merasmikan Dewan Terbuka yang bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Pada malamnya, saya hadir di Majlis Makan Besar Tahun Baru Cina dan Chap Goh Meh bersama masyarakat Tiong Hua di Kampung Baru, Simpang Renggam. Majlis ini diserikan dengan penyerahan mock cheque kepada NGO dan sekolah, penyampaian cenderahati kaligrafi Maju Johor, serta pemberian ‘angpao’ kepada kanak-kanak sebagai tanda keceriaan dan keberkatan perayaan.

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program-program ini. Usaha dan komitmen yang diberikan amat saya hargai, dan saya berharap segala kebaikan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat, malah memperkukuhkan lagi hubungan kekeluargaan masyarakat Simpang Renggam. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor