Johor Catat Pelaburan Tertinggi Dalam Negara

Syukur Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah.

Johor sekali lagi mencatat kejayaan apabila muncul negeri tertinggi pelaburannya di Malaysia bagi tempoh Januari hingga September 2025, dengan nilai pelaburan diluluskan mencecah RM91.1 bilion.

Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, atas bimbingan dan kepimpinan yang sentiasa menekankan bahawa kemajuan ekonomi perlu memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Pencapaian ini membuktikan keyakinan pelabur terhadap Johor, hasil usaha bersama dalam mewujudkan tadbir urus yang cekap, perkhidmatan yang lebih responsif, dan budaya kerja yang semakin profesional. Johor menjadi pilihan bukan hanya kerana saiz ekonominya, tetapi kerana komitmen negeri untuk memperbaiki sistem, memperkemas proses, serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan pelabur.

Kerajaan Negeri sedar dan insaf bahawa kemajuan Johor tidak boleh hanya dilihat pada angka pelaburan. Pembangunan mesti bergerak seiring dengan infrastruktur, peningkatan integriti, disiplin, mentaliti dan sikap bertanggungjawab di setiap peringkat. Dengan keyakinan ini, Johor optimis bahawa limpahan manfaat pelaburan termasuk pekerjaan berpendapatan tinggi, teknologi baharu dan peluang ekonomi akan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Johor secara menyeluruh.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YB Tuan Lee Ting Han, MIDA, MITI, Kementerian Ekonomi, IRDA, Invest Johor, PBT serta semua rakan pelaksana. Semoga kejayaan ini menjadi penyuntik semangat untuk kita bekerja lebih kuat demi kesejahteraan dan kemajuan seluruh Bangsa Johor. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor

#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor