Johor Lancar Kohort Pertama Juruteknik Pusat Data & Lonjakan Gaji Bidang TVET
Alhamdulillah, semalam Johor Talent Development Council (JTDC) mencatat satu lagi sejarah.
Melalui Hari Libat Urus Industri JTDC, Johor telah mempertemukan lebih 50 syarikat peneraju industri dengan institusi pengajian tinggi di seluruh Johor, untuk duduk semeja dan berunding bagi melaksanakan anjakan kurikulum secara besar-besaran supaya selaras dengan keperluan sebenar pasaran kerja.
Ini termasuk rancangan penubuhan Lembaga Penasihat Industri (Industry Advisory Board) dianggotai syarikat antarabangsa dan peneraju industri di setiap institusi pendidikan dan kemahiran di Johor. Inisiatif pada skala besar seperti ini adalah yang pertama seumpamanya dalam negara.
Sebagai sebahagian daripada usaha besar JTDC dan Kerajaan Negeri Johor untuk melahirkan 10,000 pekerjaan berpendapatan tinggi sepanjang tahun 2025, sukacita dimaklumkan bahawa JTDC telah mengenal pasti kohort pertama yang akan menerima manfaat ini.
1. JTDC secara rasminya akan mula melaksanakan Program Juruteknik Pusat Data secara berstruktur dan sistematik yang pertama pada 1 Mac 2025 di bawah Kolej Kemahiran Johor dengan kerjasama Lead Future Holding, bagi mengisi 200 kekosongan jawatan yang telah dikenalpasti berserta jaminan pekerjaan, dengan gaji bermula RM3,500 hingga RM4,000 bagi kelulusan minimum Diploma.
2. JTDC bersama Johor Skills, Kolej Kemahiran Johor dan beberapa institut lain sedang membangunkan Akademi Pusat Data yang akan disokong oleh antara lain Syarikat Microsoft dan EPI Singapura yang merupakan institut latihan terkemuka dunia dalam bidang digital dan teknologi.
3. JTDC telah mengenal pasti 510 pekerja sedia ada dalam bidang TVET yang akan menjalani program lonjakan pendapatan, menerusi program peningkatan kemahiran Pro-Mahir (upskilling). Dengan mengingkatkan kemahiran masing-masing, kesemua 510 pekerja ini akan menikmati lonjakan gaji daripada sekitar RM2,000/bulan ketika ini menjadi RM3,000-3,500/bulan setelah tamat program.
Inshaa’Allah lebih banyak lagi inisiatif seumpama ini akan saya umumkan dalam waktu terdekat.
Johor tidak hanya ingin melihat lebih ramai rakyatnya bekerja, tetapi bekerja dalam kerjaya berkualiti tinggi, berpendapatan lebih baik, dan mempunyai masa depan yang lebih cerah.