Johor Perkukuh Industri Nanas dengan Kerjasama LPNM dan Pemain Industri

Alhamdulillah, saya berpeluang mengadakan perbincangan bersama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bagi membincangkan pembangunan industri nanas di Johor, yang turut disertai pemain-pemain industri nanas.

Umum sedia maklum bahawa Johor merupakan pengeluar terbesar nanas di Malaysia dengan pengeluaran lebih 280 ribu MT setiap tahun dengan nilai hasil lebih RM680 juta. Pengeluaran Johor merangkumi 63.7% daripada jumlah pengeluaran nanas negara.

Mesyuarat hari ini diadakan di Simpang Renggam, Kluang yang tentunya sangat sinonim dengan tanaman nanas di negeri Johor. Saiz tanaman nanas di daerah Kluang sahaja adalah seluas 5,047 hektar, iaitu terbesar di Johor berbanding daerah lain.

Menyahut saranan daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Kerajaan Negeri akan bekerjasama rapat dengan LPNM dan pengusaha-pengusaha nanas dalam negeri Johor untuk membangunkan lagi industri nanas agar lebih produktif, berdaya saing dan mampu menjana pendapatan yang lebih tinggi kepada petani. Usaha ini tidak hanya tertumpu kepada pengeluaran hasil tanaman semata-mata, tetapi juga aspek agropelancongan dan industri asas tani.

Malah Kerajaan Negeri memperuntukkan RM500 ribu melalui Belanjawan Negeri 2025 untuk tujuan insentif bantuan benih nanas MD2, pembangunan infrastruktur ladang, penyediaan latihan serta promosi bagi menggalakkan lebih ramai anak muda menceburi bidang pertanian nanas. Kerajaan Negeri komited untuk terus memperkasa kegemilangan Johor sebagai pengeluar utama nanas di peringkat nasional dan antarabangsa.

Turut hadir ke sesi perbincangan hari ini ialah YBrs. Tuan Hj. Sheikh ‘Umar Bagharib bin Ali, Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), En. Mohd Fa’iz Bin Salehon, Yang DiPertua Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), En. Wan Hafiq bin Abdul Jalil, Setiausaha Sulit Khas, Menteri Besar Johor, En. Ahmad Fitri Shah Mohd Yussof, Pengarah LPNM Johor, Pn. Azlina bte Md Dom, Pegawai Pertanian Daerah Kluang, En. Mohd faizal bin Md Said, Ketua Whip MDSR dan En Anal Talhah, Pengurus Jermanpine Cafe.