Karnival Agro Johor 2025 Di Dataran UTHM, Batu Pahat

Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan merasmikan Karnival Agro Johor 2025 di Dataran UTHM, Batu Pahat, sebuah platform yang menyatukan petani, penternak, nelayan, usahawan tani serta agensi kerajaan dan swasta dalam memperkukuh sektor pertanian Johor.

Johor kekal sebagai peneraju utama sektor pertanian negara dengan nilai jualan tertinggi sebanyak RM27.26 bilion pada tahun 2024, menyumbang 17.3% kepada KDNK pertanian Malaysia. Dari buah-buahan, sayur-sayuran hingga ternakan, hasil bumi Johor terus menyerlahkan keampuhan sektor agro, bukan sahaja menguasai pasaran domestik malah menguasai lebih 70% eksport pertanian negara bernilai hampir RM24 bilion.

Di majlis sama, saya menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Johor Biotech dan lapan rakan strategik di bawah J-ARDC. Tahniah juga saya ucapkan kepada Jabatan Perikanan Johor atas pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi kategori “Pelepasan Benih Udang Galah Terbanyak Dalam Perairan Umum”, melibatkan lebih 1.6 juta ekor benih di tujuh daerah.

Selain itu, saya turut berpeluang menyampaikan Anugerah Agro Makanan Negeri Johor kepada lapan orang penerima serta lima insentif bernilai RM26.6 juta yang memanfaatkan lebih 1,900 penerima merangkumi usahawan tani, pertubuhan peladang dan nelayan di seluruh negeri Johor.

Kerajaan Negeri akan terus komited memperkukuh sektor pertanian sebagai tunjang ekonomi rakyat Johor. Melalui usaha berterusan, sokongan teknologi dan penglibatan generasi muda, saya yakin pertanian Johor akan terus maju, lestari dan menjadi kebanggaan negara. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor

#BangsaJohor #MajuJohor #TaniJohor