Kejayaan Gemilang JDT Menjuarai Liga Super Malaysia Kali Ke-11

Merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, atas kejayaan gemilang Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Liga Super Malaysia buat kali ke-11 berturut-turut sejak 2014!

Syukur Alhamdulillah, JDT sekali lagi mencipta sejarah dengan menjuarai Liga Super Malaysia untuk kali ke-11! Kejayaan ini bukan sekadar pencapaian luar biasa, tetapi merupakan bukti ketekunan, kesungguhan, dan dedikasi yang ditunjukkan oleh Harimau Selatan dalam memperkukuh dominasi mereka di pentas bola sepak.

Ibarat pepatah “Kota Rom tidak dibina dalam sehari,” kejayaan ini adalah hasil dari transformasi hebat yang dimulakan sejak kepimpinan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, yang telah mengangkat bola sepak Johor ke tahap yang lebih tinggi sejak 2012. Hari ini, JDT bukan hanya menguasai Liga Super, tetapi turut mengharumkan nama Johor di mata dunia.

Dengan kemenangan 2-0 ke atas Perak FC di Stadium Sultan Ibrahim, JDT sekali lagi membuktikan dominasi mereka dan mengesahkan takhta mereka sebagai Raja Liga Super! Kejayaan ini melambangkan semangat juang tanpa henti dan prestasi konsisten yang menjadikan JDT pasukan yang tiada tandingan di Malaysia.

Untuk semua penyokong JDT, teruskan memberikan sokongan padu, dan jadilah pemain ke-12 di setiap perlawanan yang akan datang. Semangat kita bersama akan terus menguatkan langkah Harimau Selatan menuju kejayaan lebih besar!

AYUH JOHOR! AYUH JOHOR! LUASKAN KUASAMU JOHOR!

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor