Komitmen Kerajaan Negeri Memastikan Kebajikan dan Keselesaan Kanak-Kanak di RPKK Johor

Setiap kanak-kanak berhak untuk mendapat perlindungan, tempat tinggal yang selesa, dan penjagaan yang penuh kasih sayang.

Syukur Alhamdulillah. Saya bersama YB Khairin-Nisa Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, telah turun padang meninjau keadaan Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Johor (RPKK).

Saya dimaklumkan bahawa buat masa ini, RPKK Johor tidak mampu menampung kapasiti maksimum disebabkan masalah fasiliti. Antara isu utama yang dikenal pasti adalah sistem kumbahan, bumbung, pintu, dapur serta sistem perpaipan yang perlu dinaik taraf.

Kerajaan Negeri komited untuk memastikan RPKK dapat berfungsi sepenuhnya. Justeru, peruntukan sebanyak RM2 juta telah diluluskan untuk kerja-kerja baik pulih bagi memastikan pusat ini selamat dan selesa untuk kanak-kanak.

Saya telah mengarahkan pihak berkaitan untuk mempercepatkan proses baik pulih agar RPKK dapat berfungsi bagi mencapai kapasiti penuh. Kerja-kerja penyelenggaraan termasuk pemasangan pagar keselamatan serta menaiktaraf dewan juga akan dilaksanakan demi menjamin kesejahteraan penghuni di sini.

Insya-Allah, kerja-kerja baik pulih akan bermula segera dan dijangka siap sepenuhnya pada awal 2026. Ini adalah langkah penting dalam memastikan RPKK benar-benar berfungsi sebagai pusat perlindungan untuk kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan, pengabaian dan pelbagai bentuk kecemasan sosial.

RPKK Johor ini adalah manifestasi komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan kanak-kanak yang memerlukan sentiasa terbela. Semoga RPKK menjadi tempat yang benar-benar selamat dan kondusif, memberi mereka peluang untuk membesar dalam persekitaran yang positif, penuh harapan dan masa depan yang cerah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor