Lawatan ke Paju LCD Public Wasterwater Treatment Facility

Syukur Alhamdulillah, saya dan delegasi Kerajaan Negeri berkesempatan mengadakan lawatan ke Paju LCD Public Wasterwater Treatment Facility di Paju, Korea Selatan yang telah mula beroperasi sejak tahun 2006, dengan kos projek keseluruhan sebanyak USD199 juta.

Fasiliti ini mempunyai kapasiti untuk merawat sehingga 50,000 m³/hari, di mana 95% air yang dirawat berasal daripada sektor industri, terutamanya daripada LG Display, serta sebahagian daripada air sisa bandar untuk mengawal aspek kritikal seperti pH, kekeruhan, kualiti air, dan meningkatkan sumber air bersih.
 
Saya teruja dengan proses rawatan yang canggih dan efisien dalam memastikan kualiti air sentiasa terjaga dan dilindungi dari pencemaran. Ini menjadi inspirasi bagi Kerajaan Negeri dalam usaha meningkatkan mutu air dan mengurangkan pencemaran air sungai di Johor.

Saya berharap agar hasil lawatan ini akan menjadi panduan bagi Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan dalam mengaplikasikan dan merancang projek-projek rawatan air di Johor, selain mengenal pasti peluang kerjasama dengan pihak Paju dalam pelaksanaan teknologi rawatan air yang mampan.

Semoga segala usaha ini membawa manfaat yang besar dalam memastikan kelestarian dan kesejahteraan rakyat Johor akan terus terbela dan terpelihara. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor