Lawatan Ke YHL Aquatic, Desaru Farm

Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang melawat YHL Aquatic, Desaru Farm, sebuah syarikat akuakultur terkemuka di Malaysia yang mengendalikan kolam ternakan udang, tiram dan ikan berteknologi tinggi, dengan rekod inovasi dan pencapaian membanggakan termasuklah:-

1. Syarikat tempatan pertama yang memiliki teknologi genetik dan menghasilkan baka udang sendiri.
2. Pengendali Pusat Nukleus dan Broodstock Multiplication Centre (BMC) pertama di Malaysia.
3. Pelopor sistem Akuakultur Pelbagai Spesies (IMTA) terbesar di Malaysia.
4. Pengusaha hatcheri tiram (moluska) terbesar di Asia Tenggara.
5. Perintis aktiviti aqua-pelancongan di Malaysia.

YHL Aquatic menyumbang hampir 14% kepada pengeluaran udang di Johor, memperlihatkan peranan penting mereka dalam memperkukuh sekuriti makanan dan ekonomi negeri. Mereka juga merancang untuk memperluaskan operasi di Bio Desaru, yang bakal meningkatkan kapasiti pengeluaran, memperkukuh bekalan makanan laut berkualiti, dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk Bangsa Johor.

Saya yakin, melalui pengembangan projek ini dan penggunaan teknologi moden, YHL Aquatic bukan sahaja akan memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab akuakultur termaju di Malaysia, malah meletakkan Johor di pentas serantau sebagai peneraju industri bioekonomi.

Semoga segala inisiatif ini akan meningkatkan pertumbuhan sektor akuakultur berteknologi tinggi ini, sebagai sebahagian daripada strategi memperkasa ekonomi negeri, mengukuhkan sekuriti makanan negara, serta memacu Johor sebagai pusat bioekonomi bertaraf dunia. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor