Tinjauan Projek Penaiktarafan Air Terjun Gunung Ledang

Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan turun padang meninjau perkembangan terkini Projek Penaiktarafan Air Terjun Gunung Ledang di Tangkak Fasa 2, yang kini hampir 90% siap. 

Projek ini merupakan salah satu inisiatif utama Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan sektor pelancongan dan merangsang ekonomi setempat.  Dengan latar sejarahnya yang tersendiri, Gunung Ledang memiliki potensi besar untuk menjadi destinasi pelancongan utama yang mampu menarik pengunjung dari dalam dan luar negara. 

Justeru, projek ini dijangka akan memberikan impak positif kepada kawasan sekitar dengan menyediakan kemudahan pelancongan yang lebih tersusun, selesa, dan mesra pengunjung. Lebih penting, ia bakal menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

Lawatan ini merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan segala perancangan pembangunan berjalan lancar, serta sebagai persiapan bagi Tahun Melawat Johor 2026.  Setiap usaha yang dilaksanakan adalah bagi memastikan setiap sen yang dibelanjakan memberi manfaat sebenar kepada rakyat.

Semoga segala usaha ini menjadi pemacu kepada pembangunan yang inklusif dan mampan, serta menyumbang kepada kesejahteraan jangka panjang buat negeri dan seluruh Bangsa Johor. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor