Lawatan Kerja Ke Singapura: Bertukar Pandangan Mengenai Hubungan Johor-Singapura Serta Perkembangan Serantau Dan Global
Syukur Alhamdulillah, dalam rangka lawatan kerja ke Singapura, saya mengadakan pertemuan bersama Tuan Dr Vivian Balakrishnan, Menteri Luar Singapura, bagi bertukar pandangan mengenai hubungan Johor-Singapura serta perkembangan serantau dan global yang turut memberi kesan kepada kedua-dua pihak.
Dunia hari ini berdepan perubahan yang begitu pantas, daripada ketidaktentuan geopolitik dan perubahan dasar perdagangan kepada gangguan rantaian bekalan. Dalam keadaan ini, hubungan yang kukuh antara negara berjiran menjadi semakin penting. Johor dan Singapura mempunyai hubungan yang rapat, saling bergantung dan telah lama terbina melalui ekonomi, pendidikan, pembangunan bakat serta hubungan antara rakyat.
Kedudukan strategik Johor dan Singapura memberi peluang besar untuk kita memperkukuh keterhubungan dan daya tahan rantau ini. Dengan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) dan RTS Link sebagai antara pemangkin utama, hubungan ini boleh membuka ruang kepada pergerakan manusia, barangan, ilmu dan peluang ekonomi yang lebih lancar, serta mengukuhkan kedudukan kedua-dua pihak dalam ekonomi serantau.
Saya juga amat menghargai sokongan Kerajaan Singapura dalam memperkukuh pembangunan bakat dan keupayaan Johor. Ini termasuk program pembangunan penjawat awam Johor Civil Service (JCS) bersama NUS, NTU dan Lee Kuan Yew School of Public Policy, serta latihan kepada guru Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) bersama National Institute of Education. Kerjasama ini membolehkan Johor membawa pulang ilmu dan amalan terbaik untuk memperkukuh perkhidmatan awam, pendidikan dan pembangunan bakat negeri.
Saya yakin perkongsian ilmu, kepakaran dan pengalaman antara Johor dan Singapura akan terus memperkukuh keupayaan institusi serta membangunkan bakat yang bersedia menghadapi tuntutan masa hadapan. Semoga hubungan strategik Johor-Singapura terus diperkukuh demi kemajuan bersama, serta menyumbang kepada kestabilan, daya saing dan kemakmuran ASEAN. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah




