Lawatan Mesra Ke Simpang Renggam, Santuni Masyarakat Dan Eratkan Silaturahim

Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan balik ke kawasan untuk bertemu dan menyantuni keluarga besar saya di Simpang Renggam, di samping bertanya khabar, mengeratkan silaturahim serta mendengar sendiri pandangan, suara dan keperluan mereka menerusi beberapa program yang diadakan sepanjang hari.

Lawatan dimulakan dengan Program Jalinan Kasih Sekampung Bangsa Johor di Kampung Melayu Bukit Nyamuk, sebelum diteruskan dengan sesi sembang santai bersama pemimpin masyarakat di Dewan Mawar. Perbincangan merangkumi pembangunan kawasan, kemudahan asas dan keperluan harian penduduk. Pandangan yang dikongsikan menjadi input penting dalam memastikan usaha pembangunan menepati keperluan rakyat.

Dalam kesempatan ini, saya juga sempat menziarahi beberapa keluarga yang sedang melalui saat kehilangan insan tersayang, iaitu keluarga Allahyarham Abd Rashid bin Rabu, Puan Suzana Banoo, Allahyarham Hairudin bin Achil serta Encik Sukaimi bin Maarop di Kampung Seri Maju Jaya, Machap. Kehadiran saya mungkin tidak mampu menghilangkan kesedihan yang dirasai, namun saya berharap ia sedikit sebanyak dapat memberikan kekuatan kepada mereka. Semoga Allah SWT mengurniakan ketabahan dan mempermudahkan segala urusan keluarga yang diuji.

Pada sebelah malam, saya berpeluang hadir ke Sambutan Deepavali Peringkat Simpang Renggam. Bersempena sambutan Deepavali tahun ini, Kerajaan Negeri Johor telah memperuntukkan RM3.35 juta bagi sumbangan 40,000 bakul makanan serta penganjuran Majlis Rumah Terbuka Deepavali 2026. Peruntukan ini diharap dapat membantu meringankan beban penerima dan menceriakan sambutan perayaan bersama keluarga.

Terima kasih kepada seluruh warga Simpang Renggam atas sambutan mesra yang diberikan. Semoga hubungan erat dan semangat kekeluargaan ini terus terpelihara serta segala usaha yang dilaksanakan dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan Simpang Renggam. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor

Skip to content