Townhall Tahun Melawat Johor 2026 Di Johor Bahru
Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan merasmikan Townhall Tahun Melawat Johor 2026 di Johor Bahru, yang menghimpunkan penggiat industri pelancongan, agensi kerajaan serta rakan strategik bagi memperkukuh hala tuju sektor pelancongan negeri.
Sektor pelancongan Johor terus menunjukkan perkembangan positif dengan merekodkan 19.7 juta kemasukan pelawat antarabangsa bagi tempoh Januari hingga September 2026, serta 4.7 juta pelancong menginap sepanjang enam bulan pertama tahun ini. Pencapaian ini mencerminkan potensi besar Johor sebagai destinasi pelancongan pilihan, sekali gus menjadi dorongan untuk kita terus memperkukuh industri pelancongan negeri.
Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan empat produk pelancongan melibatkan peruntukan hampir RM37.2 juta, termasuk Pusat Rekreasi Sungai Lebam, Pusat Kebudayaan Pengerang, Taman Negara Gunung Ledang dan Galeri Askar Timbalan Setia Negeri Johor.
Seiring dengan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan RTS Link yang dijangka beroperasi tahun hadapan, kerjasama bersama penggiat industri perlu diperkukuh bagi memastikan Johor bersedia menerima lebih ramai pelancong. Menerusi Townhall ini, perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha memperluas promosi digital bersama TikTok, meningkatkan kemudahan pengangkutan dan kesalinghubungan bersama Grab Malaysia, Kementerian Pengangkutan (MOT) serta Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ).
Setinggi-tinggi penghargaan kepada Tourism Johor, Majestic Johor Tourism Sdn Bhd, seluruh agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, rakan strategik serta penggiat industri atas komitmen dan kerjasama yang diberikan. Semoga Johor terus berkembang sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa, dengan tarikan yang lebih berkualiti supaya pelancong memilih untuk tinggal lebih lama dan datang lagi ke Johor, sekali gus membawa manfaat ekonomi kepada seluruh Bangsa Johor. Insya-Allah.
Allah Peliharakan SultanAllah Berkati JohorKepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #MajesticJohor #TahunMelawatJohor2026




