Lawatan Rasmi Ke Singapura Bersama Tuan Yang Terutama (TYT) Lawrence Wong, Perdana Menteri Singapura

Syukur Alhamdulillah. Terima kasih Tuan Yang Terutama (TYT) Lawrence Wong, Perdana Menteri Singapura, atas kesudian menerima kehadiran saya dan delegasi Kerajaan Johor di The Istana. Pertemuan ini bukan sekadar simbol hubungan akrab dua negara berjiran, malah mencerminkan tekad bersama untuk membawa kerjasama Johor–Singapura ke tahap yang lebih strategik dan holistik.

Dalam sesi perbincangan, saya telah berkongsi kemajuan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) termasuk penubuhan Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) yang kini menjadi pemudah cara utama pelaburan dan penyelarasan dasar. Sehingga kini, Johor telah menerima lebih 577 pertanyaan pelaburan, dengan 70 pelabur menunjukkan minat serius termasuk 11 syarikat yang dirujuk terus oleh agensi pelaburan Singapura.

Menjunjung Titah DYAM Pemangku Sultan Johor, saya telah mengutarakan cadangan strategik termasuk menghubungkan Tuas ke Iskandar Puteri melalui sistem RTS2.

Saya juga berbesar hati berkongsi prestasi memberangsangkan Johor dalam suku pertama tahun ini, termasuk pelaburan mencecah RM30.1 bilion. Johor juga mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 6.4%, yang tertinggi di Malaysia, sekaligus membuktikan keyakinan pelabur terhadap Johor sebagai destinasi pelaburan yang kukuh, stabil dan strategik.

Perdana Menteri Singapura menyambut baik kemajuan JS-SEZ, serta turut berkongsi pandangan positif mengenai potensi kerjasama yang lebih luas merangkumi sektor tenaga, logistik serantau dan pengukuhan hubungan dua hala antara Johor dan Singapura. Beliau turut menghargai usaha berterusan Johor dalam memastikan pasaran buruh yang adil dan berdaya saing, di samping menyatakan keterbukaan untuk meneliti cadangan-cadangan yang dikemukakan secara konstruktif.

Secara keseluruhan, perbincangan ini amat positif dan saya yakin pertemuan ini membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala Johor–Singapura. Semoga segala yang dibincangkan ini dapat dilaksanakan dengan baik sekali gus memberi manfaat kepada rakyat di kedua-dua buah negara. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor